Isnin, 14 Januari 2013

HKL112 - DAKWA IBU BAPA BAWA ANAK

Ibu bapa yang membawa anak ke perhimpunan KL112 kelmarin akan dikenakan tindakan walaupun tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang ia berlangsung.

Ini kerana tindakan mereka dianggap mendedahkan anak terutama yang berusia 15 tahun ke bawah kepada situasi tidak selamat dan mendatangkan bahaya. Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Noriah Kasnon berkata, beliau akan berjumpa dengan Bahagian Kanak-Kanak di kementerian hari ini untuk berbincang mengenai perkara itu. “Kita juga akan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkuasa khususnya polis memandangkan penguatkuasaan Akta Kanak-Kanak 2001 terletak di bawah mereka.

“Alhamdulillah, tiada apa-apa yang berlaku semalam (kelmarin). Tetapi, yang pastinya pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan dan melakukan pendakwaan terhadap ibu bapa yang sengaja mendedahkan anak-anak kepada situasi yang tidak selamat,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan peralatan 1Azam di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, semalam. Majlis disempurnakan Koordinator Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor merangkap Ahli Parlimen Sepang, Datuk Dr Mohd Zin Mohamed. Beliau diminta mengulas tindakan segelintir ibu bapa yang tetap membawa anak mereka ke perhimpunan KL112 walaupun pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memberi amaran supaya tidak berbuat demikian. Ibu bapa yang ingkar boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Subseksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-keduanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seramai 320 penduduk dari sekitar Sepang menerima barangan permulaan perniagaan bernilai lebih RM1.6 juta di bawah program KARIS1MA TEMAN 1AZAM bagi membantu mereka meningkatkan kualiti hidup dan sumber pendapatan. Noriah berkata, sejak Januari 2011 hingga 31 Disember lalu, seramai 100,934 sudah menyertai program TEMAN 1AZAM di seluruh negara dan 5,266 penerimanya berasal dari Selangor dengan jumlah peruntukan kira-kira RM33 juta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan