Rabu, 24 April 2013

Tolak janji kosong Pas, DAP di Sungai Besar


SUNGAI BESAR 23 April - Masyarakat di kawasan Parlimen Sungai Besar digesa supaya menolak janji kosong daripada calon Pas dan DAP di kawasan tersebut yang menjanjikan pelbagai perkara dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon berkata, calon pakatan pembangkang hanya berjanji kosong dan terbukti apabila janji manifesto 2008 masih belum ditunaikan hingga sekarang.




Beliau berkata, banyak pihak yang teraniaya telah berjumpanya bagi meluahkan masalah termasuk golongan ibu tunggal, warga emas dan golongan muda di kawasan berkenaan.


''Saya jumpa ibu tunggal, mereka cakap benda sama iaitu mengenai janji kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang mahu beri mereka elaun. Bila saya jumpa warga emas pula, perkara sama dibangkitkan.
''Pengundi kini sedar hanya BN yang boleh bantu mereka. Golongan yang sebelum ini dijanjikan macam-macam oleh pakatan pembangkang, akhirnya datang jumpa saya untuk minta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat Cina di sini hari ini.


Menurut Noriah, berdasarkan pertemuan dengan komuniti Cina itu, beliau yakin mereka akan terus memberi sokongan kepada BN termasuk merampas kembali kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan daripada DAP.


Sementara itu, katanya, tumpuan beliau kini ialah untuk mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada BN di Sekinchan yang mempunyai komposisi pengundi paling tinggi iaitu sebanyak 69 peratus.


''Hasil maklum balas yang diterima, masyarakat Cina di sini sudah sedar hanya BN yang boleh membantu kaum terbabit terutamanya dari segi bantuan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).


''Apabila saya jumpa masyarakat Cina, India atau Melayu, saya selalu tanya mereka, siapakah yang b
banyak beri pertolongan kepada mereka? Mereka jawab BN. Jadi, saya cakap berilah sokongan kepada BN kalau itu jawapannya," katanya.


Dalam PRU-13, Noriah yang juga merupakan penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar ditentang oleh calon Pas, Mohamed Salleh Husin manakala di DUN Sekinchan, calon BN, Kek Seng Hooi dicabar calon DAP, Ng Suee Lim.

Khamis, 11 April 2013

ManifestoBN: Wanita bakal nikmati lebih peluang perniagaan


Dalam usaha memastikan kaum wanita lebih berkeupayaan untuk berdikari, Barisan Nasional (BN) berjanji untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan ruang bagi menambah pendapatan mereka.

Selain itu, BN juga berjanji akan mewujudkan lebih banyak insentif untuk kaum wanita bekerja dari rumah, dengan lebih penekanan kepada golongan ibu tunggal, menurut Manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke 13 yang bertemakan 'Menepati Janji Membawa Harapan' yang dilancarkan Pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak di sini malam ini.
Dasar kerajaan BN selama bertahun-tahun telah memberikan pilihan kepada wanita untuk berada di barisan depan perniagaan dan inovasi tanpa mengetepikan naluri semula jadi mereka sebagai suri rumah.

Selain itu, BN juga berjanji akan menambah jumlah wanita yang terlibat dalam proses membuat keputusan nasional, dan menggalakkan kesamaan gender untuk memaksimumkan potensi rakyat Malaysia dalam semua bidang tanpa mengira jantina.

BN dalam manifestonya juga akan melipatgandakan usaha untuk menghapuskan gangguan seksual dan penderaan di rumah dan tempat kerja, dengan mengetatkan undang-undang demi menyediakan persekitaran yang lebih selamat kepada kaum wanita.

Kerajaan BN setakat ini telahpun meluluskan Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual Di Tempat Kerja serta meluluskan garis panduan tentang gangguan seksual di tempat kerja dalam Perkhidmatan Awam.

Manifesto BN juga berjanji akan membuka pusat Asuhan 1Malaysia di semua pejabat Kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta menggalakkan sektor swasta untuk melakukan perkara yang sama.
Dalam usaha mempertingkatkan kedudukan wanita dalam membuat keputusan, kerajaan BN telahpun melaksanakan dasar bagi memastikan penyertaan wanita dalam membuat keputusan korporat dengan menggalakkan pelantikan wanita sehingga 30 peratus daripada jawatan-jawatan tertinggi korporat, dan sekurang-kurangnya seorang wanita dilantik menjadi ahli Lembaga Pengarah syarikat-syarikat GLC.

Kerajaan BN juga telah memperkenalkan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT) yang menyediakan latihan kemahiran keusahawanan kepada ibu tunggal, dan mewujudkan program GetMalaysian Business Online (GMBO) dengan peruntukan RM50 juta untuk meningkatkan jualan produk-produk usahawan wanita secara online.

Selain menambah jumlah cuti bersalin untuk wanita dalam sektor awam daripada 60 hari kepada 90 hari, kerajaan BN juga telah menyediakan pemeriksaaan percuma mamogram untuk wanita dan imunisasi HPV (Human Papilloma Virus) kepada remaja perempuan.