Rabu, 24 April 2013

Tolak janji kosong Pas, DAP di Sungai Besar


SUNGAI BESAR 23 April - Masyarakat di kawasan Parlimen Sungai Besar digesa supaya menolak janji kosong daripada calon Pas dan DAP di kawasan tersebut yang menjanjikan pelbagai perkara dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon berkata, calon pakatan pembangkang hanya berjanji kosong dan terbukti apabila janji manifesto 2008 masih belum ditunaikan hingga sekarang.




Beliau berkata, banyak pihak yang teraniaya telah berjumpanya bagi meluahkan masalah termasuk golongan ibu tunggal, warga emas dan golongan muda di kawasan berkenaan.


''Saya jumpa ibu tunggal, mereka cakap benda sama iaitu mengenai janji kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang mahu beri mereka elaun. Bila saya jumpa warga emas pula, perkara sama dibangkitkan.
''Pengundi kini sedar hanya BN yang boleh bantu mereka. Golongan yang sebelum ini dijanjikan macam-macam oleh pakatan pembangkang, akhirnya datang jumpa saya untuk minta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat Cina di sini hari ini.


Menurut Noriah, berdasarkan pertemuan dengan komuniti Cina itu, beliau yakin mereka akan terus memberi sokongan kepada BN termasuk merampas kembali kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan daripada DAP.


Sementara itu, katanya, tumpuan beliau kini ialah untuk mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada BN di Sekinchan yang mempunyai komposisi pengundi paling tinggi iaitu sebanyak 69 peratus.


''Hasil maklum balas yang diterima, masyarakat Cina di sini sudah sedar hanya BN yang boleh membantu kaum terbabit terutamanya dari segi bantuan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).


''Apabila saya jumpa masyarakat Cina, India atau Melayu, saya selalu tanya mereka, siapakah yang b
banyak beri pertolongan kepada mereka? Mereka jawab BN. Jadi, saya cakap berilah sokongan kepada BN kalau itu jawapannya," katanya.


Dalam PRU-13, Noriah yang juga merupakan penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar ditentang oleh calon Pas, Mohamed Salleh Husin manakala di DUN Sekinchan, calon BN, Kek Seng Hooi dicabar calon DAP, Ng Suee Lim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan