Ahad, 17 Februari 2013

IBU TUNGGAL PERLU TERUSKAN TUNTUTAN

SHAH ALAM - Ibu tunggal di Selangor perlu terus menuntut hak mereka untuk mendapat elaun seperti yang dijanjikan pakatan pembangkang dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) yang lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon berkata, itu adalah hak ibu tunggal yang telah dijanjikan dan kerajaan negeri wajib melaksanakannya.

 “Manifesto pada kita adalah kontrak yang perlu dilaksanakan, bukan janji manis. Pada kita, itu mengikat antara kerajaan dan rakyat. Jika mereka (kerajaan negeri) kata manifesto itu bukan janji dan tidak boleh dilaksanakan, maka kita tidak boleh percaya langsung apa yang mereka cakap selepas ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Karnival Karangkraf 2013, semalam.

November lalu, 2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan saman menuntut RM10.9 juta terhadap Kerajaan Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana gagal memberi elaun ibu tunggal seperti dijanjikan dalam manifesto PRU12.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Kerajaan Selangor dan Menteri Besarnya, untuk membatalkan tuntutan tersebut. Hakim Datuk Yaacob Md atas alasan plaintif mempunyai asas untuk membuat tuntutan.

Oleh demikian, kata Noriah, rakyat terurama kaum wanita jangan mempercayai lagi janji kerajaan negeri kerana sudah tentu mereka tidak akan melaksanakannya. Beliau yang diiringi Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub meluangkan masa melawat gerai-gerai Karnival Karangkraf 2013 selain turut mengambil peluang untuk menjadi ‘wartawan sehari’ dengan menulis berita untuk Sinar Online. “Inilah kali pertama saya menaip berita,” katanya sambil tertawa. Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan syabas kepada Kumpulan Media Karangkraf kerana berjaya menganjurkan program yang memberi manfaat kepada masyarat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan