Ahad, 12 Mei 2013

SEDIA BILIK KHAS - Majikan Di Saran Bantu Galak Kakitangan Wanita Susukan Bayi Enam Bulan -

Sungai Buloh: Majikan negara ini disaran menyediakan bilik menyusu khas untuk pekerja wanita mengepam susu, sekali gus menyahut seruan kerajaan menggalakkan bayi menerima susu badan selama enam bulan pertama.

Penyediaan bilik khas itu di pejabat juga bersesuaian sambutan Hari Ibu semalam, malah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Noriah Kasnon menyifatkannya kemudahan diperlukan ibu berkerjaya masa kini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar berharap semua majikan negara ini khususnya sektor swasta mengambil serius cadangan itu dan sedia bertoleransi dengan pekerja wanita yang mempunyai anak kecil masih menyusu badan. “Sempena Hari Ibu ini kita harapkan majikan memberi sedikit kelonggaran kepada ibu yang berkerjaya untuk mereka menunaikan tanggungjawab menyusu anak.
“Ada yang perlu mengepam susu di pejabat, kalau boleh diwujudkan bilik khas untuk tujuan ini.Sebab ini juga selaras seruan kerajaan yang mahu menggalakkan bayi menerima susu badan secukupnya sekurang-kurangnya enam bulan pertama, jadi kita harapkan toleransi daripada majikan,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis ringkas sempena Hari Ibu di Hospital Sungai Buloh, di sini semalam. Majlis itu anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Jabatan Pembangunan Wanita dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Selangor. Seramai 30 ibu muda yang melahirkan bayi di hospital itu diraikan dengan pemberian cenderamata dan mawar merah bersama 600 jururawat bertugas sempena Hari Jururawat yang jatuh pada tarikh sama.
Ditanya kemungkinan meneraju kementerian sama dalam barisan Kabinet akan datang, Noriah enggan mengulas sebaliknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi kerajaan untuk membuat keputusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan