Jumaat, 21 Disember 2012

Bantu rakyat miskin

Kira-kira 60,000 penduduk berpendapatan rendah di negeri Pahang bakal menerima manfaat menerusi pelaksanaan projek Memudah Cara Peningkatan Masyarakat.

Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon berkata, projek tersebut bertujuan untuk mempermudahkan usaha organisasi swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan tanggungjawab sosial dalam membantu golongan berpendapatan rendah.

"Pelaksanaan projek ini hanya tertumpu kepada golongan isi rumah berpendapatan RM2,300 sebulan ke bawah yang juga dikenali sebagai Bottom 40 (B40)," katanya dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) projek itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Selain kementerian, MoU tersebut melibatkan kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) dan kerajaan negeri Pahang.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang dikumpul, pihaknya bersama kerajaan negeri akan merangka program-program khusus bagi membantu keluarga berpendapatan rendah itu.

"Sebagai contoh jika mereka mahir dalam pembuatan baulu, maka pihak kami akan membantu mengadakan program berkaitan seperti menggunakan media baharu sebagai medium pemasaran sekali gus membantu mereka menjana pendapatan sampingan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali pula memberitahu, sebanyak RM6.1 juta telah disalurkan kepada kerajaan negeri Pahang melalui kementerian untuk projek tersebut.

"Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah digunakan dalam pelaksanaan projek ini kerana ingin mendedahkan kepada golongan berkenaan bahawa ICT memainkan peranan utama dalam mewujudkan pelbagai kaedah bagi menjana pendapatan sampingan," kata beliau.

Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob memberitahu, projek berkenaan akan dipantau selama lapan bulan mulai bulan depan untuk melihat sejauh mana keberkesanan pelaksanaannya.

"Sekiranya projek tersebut berjaya membawa perubahan ketara dalam meningkatkan sosioekonomi golongan B40 di Pahang, usul yang sama akan dihantar kepada kerajaan Pusat bagi meneruskannya di negeri-negeri lain," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan