Kesemua 47 mangsa banjir dari perkampungan Orang Asli Paya Rumput yang sebelum ini ditempatkan di pusat pemindahan Genting Senyen di Dewan Perpaduan GS Paper and Packaging Sdn. Bhd., Mukim Tanjung 12 di sini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kira-kira 5 petang ini selepas air banjir surut sepenuhnya di kawasan penempatan mereka.
Mangsa yang dipindahkan sejak 4 November lalu dibenarkan pulang selepas mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Bagaimanapun menurut jurucakap MKN, mereka diingatkan supaya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika hujan berlebihan.
Terdahulu, mangsa menerima sumbangan daripada pihak Yayasan Kebajikan Negara dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah Kuala Langat dan Klang.
Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon.
Kesemua mereka menerima sumbangan berupa makanan kering, kit penjagaan diri dan tuala mandi.
Noriah berkata, bantuan itu diharap mampu membantu mengurangkan beban mangsa.
"Kita sedia maklum setiap kali banjir melanda, banyak harta benda mangsa musnah dan menjejaskan aktiviti harian mereka. Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menyampaikan bantuan di pusat penempatan itu, di sini.
Noriah yang hadir untuk lawatan kerja kali pertama selepas pelantikannya sebagai Timbalan menteri bagi kementerian tersebut turut menasihatkan mangsa agar bersabar dan tabah dengan musibah yang melanda.
Sementara itu, seorang mangsa, Kel Bonok, 53, melahirkan rasa syukur di atas bantuan yang dihulurkan itu.
Katanya, keprihatinan yang ditunjukkan pihak kerajaan dapat mengurangkan kesedihan mereka.
"Saya tidak akan melupakan apa yang berlaku pada hari kejadian. Air naik separas pinggang dam kami berusaha menyelamatkan diri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan