Jumaat, 21 Disember 2012

Wanita jangan malu pamer kemahiran dalam organisasi


Kaum wanita terutama di peringkat pembuat keputusan tidak perlu malu untuk mempamerkan kemahiran, bakat serta kejayaan mereka selain perlu sentiasa mencabar diri keluar dari zon selesa dalam sesebuah organisasi.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, wanita di peringkat itu juga perlu mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi memperluaskan peranan dalam sesebuah organisasi.

"Pengarah-pengarah wanita perlu bijak menjalin rangkaian sesama mereka dalam usaha mempertingkatkan kepakaran sekali gus menambah bilangan pembuat keputusan dalam kalangan wanita di negara ini," katanya.

Beliau berucap dalam Konvensyen Pengarah-pengarah Wanita 2012 anjuran Institut Pengupayaan Wanita NAM (NIEW) di sini hari ini.

Rosmah berkata, pengarah wanita juga harus belajar memberi sokongan kepada wanita lain termasuk dengan mengadakan program latihan dan mentor.

"Lebih penting, jika anda berada dalam kedudukan memegang kuasa atau apabila anda sampai ke kedudukan itu, pastikan terdapat wanita muda yang mencukupi untuk mengisi jawatan itu kelak," katanya.

Dalam perkembangan sama, Rosmah berkata, Malaysia mempamerkan contoh terbaik kepada banyak negara lain dalam usaha memastikan golongan wanita mengisi sekurang-kurangnya 30 peratus jawatan di peringkat pembuat keputusan terutama dalam sektor korporat.

Katanya, perkara itu selaras dengan hakikat golongan wanita mempunyai peranan penting dalam membantu mencorakkan landskap ekonomi dan sosial masyarakat di negara ini.

Sementara itu, Rosmah berkata, NIEW mendaftarkan kira-kira 640 peserta dalam Daftar Pengarah-pengarah Wanita yang disifatkan layak untuk jawatan lembaga pengarah korporat.

Beliau berkata, kira-kira 200 daripada mereka telah selesai menjalani skim latihan di bawah NIEW dan bersedia untuk penempatan lembaga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan